mutakhir

MAIK yakin capai sasaran

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yakin akan mencapai sasaran kutipan zakat berjumlah RM180 juta sehingga hujung tahun ini.

Timbalan Yang Dipertuanya, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, sehingga semalam kutipan zakat yang diperoleh MAIK berjumlah RM108.42 juta berbanding dalam tempoh yang sama tahun lalu sebanyak RM104.39 juta.

Katanya, ia menunjukkan peningkatan kutipan zakat sebanyak RM4.03 juta atau 3.86 peratus.

"Saya yakin MAIK akan mencapai sasaran dan mampu mengutip zakat yang masih berbaki lebih RM70 juta sebelum penghujung tahun ini.

"Sasaran kutipan ini akan berjaya diperolehi memandangkan masih ada syarikat korporat yang belum menyerahkan zakat perniagaan kepada MAIK," katanya selepas Majlis Penyerahan Cek Zakat Perniagaan Percetakan Nasional Berhad (PNB) di pejabat MAIK di Balai Islam, Lundang, Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Nik Mohd Azlan menerima cek perniagaan berjumlah RM11,178.92 yang diserahkan oleh Pengurus Cawangan PNB Kelantan, Rosilawati Kahar.

Beliau berkata, kesedaran syarikat korporat membayar zakat perniagaan semakin tinggi di negeri ini.

"Zakat yang diagihkan oleh MAIK kepada golongan lapan asnaf dibelanjakan secara telus," katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 8:29pm
d