mutakhir

3 jenama, 5 model baru

Oleh Lizam Ridzuan

SEMPENA Naza Merdeka AutoFair yang diadakan dari 10 hingga 13 Ogos 2017 di Naza Mall Petaling Jaya, Naza World Group of Companies melancarkan lima model baru di bawah tiga jenama edaran anak syarikat mereka.

Piaggio memperkenalkan model Medley S 150 ABS, Vespa dengan S125 I-GET, Chevrolet Colorado dengan tiga varian baru serta Ducati melancarkan dua model terkini untuk pasaran tempatan.

Piaggio adalah skuter dengan enjin 149cc dengan rekaan moden sesuai untuk kegunaan harian dilengkapi dengan dua saluran brek ABS dan ruang simpanan 36.2 liter dijual pada harga asas RM18,327 (termasuk GST).

Model terkini daripada Vespa S125 I-Get sebuah skuter silinder tunggal empat lejang dengan enjin 125 cc sejukan udara daripada sistem Italian Green Technology untuk penggunaan bahan api lebih efisien dijual pada harga RM12,603.40 (termasuk GST).

Untuk Chevrolet tiga varian baru trak pikap Colorado diperkenalkan, dengan Colorado X, Colorado X-Urban dan Colorado X-ADV bagi memenuhi keperluan gaya hidup urban dan lasak pada harga bermula daripada RM117,740.

Dua model kemasukan jenama motosikal Itali juga dilancarkan iaitu Ducati Monster 797 dijual pada harga bermula daripada RM55,900 dan Multistrada 950 dengan RM85,900.

Pelbagai aktiviti diadakan serta tawaran harga dan kadar faedah yang menarik diberikan kepada pelanggan serta cabutan bertuah sebuah Chevrolet Colarado bakal dimenangi kepada pembeli bertuah ketika pameran ini.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 9:16pm
d