mutakhir

Selesai rakam percakapan

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

PEGAWAI penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai merakam percakapan tiga lembaga pengarah Felda Investment Corporation (FIC) di Ibu Pejabat SPRM, 6.30 petang hari ini.

Sumber berkata, ketiga-tiga individu terbabit hadir untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel mewah di London oleh anak syarikat FELDA itu.

"Setakat ini, mereka memberi kerjasama yang baik kepada pegawai penyiasat SPRM.

"Ketiga-ketiga inidividu terbabit sebelum ini sudah dipanggil SPRM namun dipanggil semula untuk melengkapkan siasatan lanjut," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Dalam pada itu, sumber berkata, sejak siasatan dibuka, SPRM sudah memanggil seramai 29 individu sebagai saksi bagi membantu siasatan.

Katanya, lima individu turut ditahan termasuk seorang bekas ketua pegawai eksekutif FIC serta mereka yang terbabit dalam pembelian hotel berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan, semua yang dipanggil memberi keterangan akan dipanggil semula jika ada keperluan.

Katanya, ketiga-tiganya dipanggil semula bagi membantu melengkapkan kertas siasatan.

"Selepas meneliti keterangan yang diberi mereka pada Selasa lalu, perlunya mereka dipanggil semula untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

Portal Harian Metro hari ini melaporkan, Pengarah FIC dan dua bekas ahli lembaga pengarahnya sekali lagi hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk memberi keterangan.

Pengarah FIC Datuk Nik Azman Mohamed Zain dan bekas ahli lembaga pengarah, Datuk Dr Omar Salim tiba secara berasingan pada 10.20 pagi dan 10.50 pagi, manakala Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid tiba pada 11.15 pagi.

Ketiga-tiga mereka sebelum ini sudah memberi keterangan kepada SPRM pada Selasa lalu selama empat hingga enam jam.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 9:32pm
d