mutakhir

Sorok emas dalam botol air

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Sembunyi rantai emas dalam botol minuman adalah taktik digunakan kumpulan Geng Mat untuk menyorokkan barang bukti selepas melakukan jenayah ragut sekitar kawasan Bangsar dan Taman Tun Dr Ismail, di sini.

Bagaimanapun, aktiviti suspek dianggotai tiga lelaki berusia 26 hingga 32 tahun tumpas apabila mereka ditahan dalam satu pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Jalan Klang Lama, di sini, hujung bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, sepasukan polis mengekori ketiga-tiga suspek yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan.

Menurutnya, pemeriksaan polis menemui tujuh rantai leher emas serta loket dalam keadaan putus disimpan dalam satu botol minuman.

“Seorang mangsa yang disamun di kawasan Lucky Garden, Bangsar, pada hari sama mengesahkan satu rantai emas itu adalah miliknya.

“Suspek yang disoal siasat mendedahkan pembabitannya dalam jenayah samun ragut di kawasan Bangsar, Taman Tun Dr Ismail, Damansara dan sekitar Petaling Jaya, Selangor,” katanya ketika sidang media di Balai Polis Tun Dr Ismail, sejurus Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, semalam.

Disiarkan pada: August 11, 2017 @ 4:43am
d