mutakhir

Angkara tak puas hati [METROTV]

Oleh HM Digital

Permaisuri: Perasaan tidak puas hati antara pelajar senior dan junior dipercayai punca kejadian buli membabitkan tiga mangsa di Kolej Vokasional Wakaf Tembesu, Kuala Nerus.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, siasatan kes berkenaan masih berjalan, tetapi kejadian dipercayai akibat perasaan tidak puas hati antara pelajar terbabit.

Menurutnya, pihaknya menahan 26 pelajar masing-masing berusia antara 16 dan 17 tahun yang dipercayai terbabit dalam dua kejadian buli di sekolah berkenaan.

“Ia termasuk 11 suspek berusia 17 tahun yang ditahan di asrama dan rumah masing-masing bermula jam 5 petang semalam (kelmarin) hingga awal pagi ini (semalam).

“Berdasarkan siasatan, dua daripada mereka dipercayai terbabit dalam kedua-dua kejadian buli itu dan tidak menolak kemungkinan menahan beberapa suspek lagi,” katanya di tapak penganjuran Sukan Kuda Lasak di Lembah Bidong, di sini, semalam.

Aidi berkata, semua kumpulan kedua pelajar yang ditahan itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu bagi mendapatkan perintah reman sebelum mahkamah membenarkan mereka ditahan tiga hari sehingga esok.

Pihaknya turut meminta pihak sekolah memaklumkan kejadian buli di sekolah bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

“Jika ada lagi mangsa buli di sekolah berkenaan, kami harap mereka tampil membuat laporan,” katanya.

Sementara itu, semua pelajar berkenaan tiba di pekarangan mahkamah jam 9 pagi sambil diiringi polis bagi mendapatkan perintah reman.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Roszita Md Saad bagi siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Dalam kejadian pertama Isnin lalu, Muhammad Luqman Hakim Mohd Shukri, 17, mendakwa dibelasah 15 rakan ketika berada di surau dan asrama kolej antara jam 9.30 dan 10.30 malam.

Ahmad Zikrill Azim Hasbullah pula mendakwa dia bersama rakan, Wan Ahmad Faris Zakaria, masing-masing berusia 16 tahun dibelasah 20 pelajar lain sebelum mereka dipaksa bertumbuk sesama sendiri pagi Selasa lalu.

Disiarkan pada: August 11, 2017 @ 5:21am
d