mutakhir

Lelaki Yaman mengamuk

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Cyberjaya: Seorang lelaki warga Yaman mengamuk sehingga memaksa anggota polis mengeluarkan pistol untuk mempertahankan diri.

Situasi cemas itu berlaku ketika sepasukan anggota Bahagian AntiPengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman melakukan operasi khas di kawasan Neo Cyber, di sini, jam 9 malam kelmarin.

Bagaimanapun, lelaki Asia Barat berusia 31 tahun itu ditenangkan sekumpulan anggota polis yang menyertai operasi bersepadu bagi mengesan warga asing yang mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas antarabangsa.

Ketua Penolong Pengarah E8 Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi dijalankan itu turut disertai 200 anggota Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Katanya, operasi kali ini turut membabitkan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) yang menyediakan alat mengesan bahan radioaktif.

“Seramai 290 warga asing ditahan dalam operasi itu. Pemeriksaan perlu dilakukan kerana kita bimbang sekiranya ada antara mereka terbabit aktiviti keganasan.

“Semua tangkapan akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk menjalani proses saringan dan dokumentasi,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan.

Menurutnya, hasil saringan itu, 57 individu diambil tindakan kerana tidak mempunyai dokumen lengkap berada di negara ini.

Disiarkan pada: August 11, 2017 @ 5:34am
d