mutakhir

Tarikh perbicaraan ditetapkan 5 Februari

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

MAHKAMAH Sesyen Kota Kinabalu menetapkan 5 Februari depan sebagai tarikh perbicaraan kes bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), isterinya dan bekas timbalan pengarah jabatan itu yang dituduh atas 37 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM61.57 juta.

Hakim Abu Bakar Manat menetapkan tarikh itu pada pengurusan kes hari ini.

Beliau juga mengarahkan tiada lagi penangguhan perbicaraan dibuat selepas ini.

“Tarikh 29 November tahun ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi menyelesaikan semua perkara dan isu berbangkit sebelum perbicaraan," katanya.

Pihak pendakwaan akan memanggil seramai 215 saksi sepanjang peringkat pendakwaan.

Pada 29 Disember 2016, tertuduh, Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 54, isterinya, Fauziah Piut, 51, dan Lim Lam Beng, 62, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Awang Mohd Tahir didakwa atas 12 pertuduhan iaitu lapan tuduhan memiliki wang RM56,965,329.15 dalam empat akaun bank, dua pertuduhan memiliki enam kenderaan mewah, satu tuduhan memiliki 86 jam tangan mewah pelbagai jenama dan tuduhan terakhir, terbabit dalam transaksi wang tunai RM14,000 kepada Cristine Fiona M Ponsoi.

Tertuduh yang berkhidmat di JANS sejak 1991 didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1)(b) dan 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUA).

Fauziah pula berdepan 19 pertuduhan antaranya memiliki wang berjumlah RM2,229,632.65 dalam 18 akaun bank berlainan di Sabah serta memiliki 93 beg pelbagai jenama hasil daripada aktiviti haram berkenaan.

Dia turut didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFAPUA 2001.

Selain itu, pasangan terbabit turut berdepan dua pertuduhan mengikut seksyen dan akta sama, masing-masing atas tuduhan memiliki barang perhiasan iaitu 575 jenis emas dan 346 jenis bukan emas.

Lim pula yang bersara daripada jabatan itu pada 2015 dituduh memiliki wang RM2.38 juta hasil aktiviti haram yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFAPUA 2001.

Semua tertuduh kini sudah dibebaskan dengan jaminan.

Disiarkan pada: August 11, 2017 @ 12:59pm
d