mutakhir

'Jentera lumba' kegunaan di jalan raya

Oleh Mohd Razlan Salleh

SEMPENA Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) yang julung kali diadakan di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang selama dua hari bermula esok, UMW Toyota Motor Sdn Bhd melancarkan edisi terhad Toyota Vios Sports Edition khusus untuk peminat dunia permotoran tempatan.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini, model yang diinspirasikan daripada jentera lumba Vios Challenge didatangkan dengan beberapa aksesori ‘sporty’ termasuk padanan jalur grafik menarik.

Dijual pada harga RM85,300 seunit (tanpa insurans), Toyota Vios Sports Edition adalah model berasaskan varian 1.5J dengan aerokit seluruh badan, spoiler belakang lebar, rim aloi warna hitam bersaiz 15 inci selain kit suspensi sport menjadikan jentera direndahkan sebanyak 27 milimeter (mm).

Padanan aerokit ini meningkatkan prestasi aerodinamik kereta dan mengurangkan pergolakan yang menyebabkan seretan, selain membantu meningkatkan kestabilan pada kelajuan tinggi.

Manakala ruang dalaman turut diberi sentuhan ‘sporty’ apabila jahitan benang merah menghiasi tempat duduk fabrik gelap, plat pemijak pintu bercahaya amber dan alas kaki dwi warna.

Toyota Vios Sports Edition dijana enjin empat silinder 1.5L Dual VVT-i yang menghasilkan 107 PS pada 6,000 rpm dan tork 140 Nm pada 4,000 rpm, dipadankan bersama kotak gear CVT.

Edisi khas yang menyamai jentera lumba Vios Challenge ini hanya ditawarkan dalam tempoh terhad, selain jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Disiarkan pada: August 11, 2017 @ 5:21pm
d