mutakhir

Phee Boon Poh direman

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh tiba di Mahkamah Majistret Georgetown jam 10.10 pagi ini.

Beliau dibawa bersama dua lagi individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes kilang haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam.

Phee, 66, tiba dengan menaiki kenderaan SPRM jenis Mitsubishi Prado manakala dua lagi menaiki Perodua Alza dan Honda City.

Beliau yang memakai baju oren SPRM diiringi dua pegawai SPRM dengan tangan bergari masuk ke kamar mahkamah bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Terdahulu seramai kira-kira 50 orang termasuk beberapa pemimpin negeri, ahli keluarga serta ahli DAP mula berkumpul seawal 8.30 pagi bagi menunjukkan sokongan terhadap Phee.

Merek membawa kain rentang dan kad tertulis ‘Solidariti Bersama Phee Boon Poh’ dan melaungkan sorakan sokongan secara beramai-ramai.

Semalam, sepasukan pegawai SPRM membuat pemeriksaan di pejabat Phee di Tingkat 53, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada 12.50 tengah hari, sebelum diarahkan hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM negeri.

Phee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu ditemani peguam, RSN Rayer, tiba pada 2.30 petang, sebelum ditahan pada 4.30 petang.

Sejurus ditahan sepasukan pegawai SPRM kemudian menggeledah rumahnya di Sungai Puyu, Butterworth.

Berita berkaitan

SPRM 'singgah' rumah Phee pula

ADUN Sungai Puyu ditahan bantu siasatan

Disiarkan pada: August 12, 2017 @ 12:09pm
d