mutakhir

Guna rumah arwah ayah edar dadah

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SUAMI isteri ditahan apabila disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dadah selepas sejumlah bahan itu ditemui dalam serbuan di rumah di FELDA Bukit Aping Timur, Kota Tinggi, Johor.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, serbuan dilakukan pada 7.10 pagi semalam.

Katanya, polis menahan pasangan berkenaan iaitu lelaki tempatan dan wanita Indonesia masing-masing 35 dan 44 tahun.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis menjumpai 756 gram heroin, 7.58 gram syabu dan 104 biji erimin 5.

"Kita turut merampas Honda Odyssey bernombor pendaftaran Singapura," katanya.

Ahsmon berkata, anggaran nilai rampasan semua dadah itu mencecah RM9,000.

Katanya, siasatan awal mendapati rumah yang diserbu itu adalah peninggalan bapa suspek lelaki yang sudah meninggal dunia.

"Kita percaya suspek lelaki ini mendapat bekalan dadah daripada lelaki yang datang ke FELDA itu dan bekalan terbabit akan dijual di sekitar FELDA Aping dan Kuala Sedili," katanya.

Hasil semakan, Ahsmon berkata, suspek lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes dadah termasuk pengedaran dan memiliki dadah, manakala isterinya tiada rekod jenayah lampau.

"Suspek lelaki juga didapati positif dadah dalam ujian saringan awal air kencing dan wanita itu pula didapati negatif," katanya.

Menurut Ahsmon, suspek lelaki yang bekerja di kebun sawit dan isterinya sebagai pembantu restoran kini ditahan reman tujuh hari sehingga 18 Ogos ini.

Katanya, siasatan dan risikan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: August 12, 2017 @ 12:52pm
d