mutakhir

'Saya perlu reda'

Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: “Saya perlu reda dengan ketentuan Allah SWT dan percaya setiap kejadian yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.”

Itu luah ibu cekal Nor Azlin Mohamad, 28, yang akhirnya akur dengan takdir anaknya Muhammad Arifuddin Mohd Nor Hafis berusia sembilan tahun yang kehilangan kedua-dua penglihatan.

Muhammad Arifuddin sebelum ini disahkan menghidap kanser tisu tahap empat sehingga menyebabkan biji mata kirinya terkeluar dan doktor mengesahkan mata kanan pula hampir buta.

Laporan muka depan Harian Metro 12 Julai lalu memaparkan penderitaan kanak-kanak ceria itu yang berisiko buta seumur hidup berikutan sel kanser yang merebak dengan cepat sehingga ke otak dan menjejaskan organ dalaman lain.

“Bagaimanapun saya bersyukur dapat tunaikan impian anak untuk berjumpa dengan idola bola sepaknya iaitu Mohd Hafiz Kamal (pemain Perak) dan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) ketika penglihatannya mata kanannya masih ada walaupun sedikit kabur.

“Sejak berjumpa Hafiz, anak tidak henti mengucapkan terima kasih dan dia seolah-olah boleh menerima takdir yang dia akan buta tidak lama lagi biarpun sebelum ini dia sering murung.

“Kini, saya perlu kuatkan hati demi Arifuddin yang terpaksa menjalani hidup sebagai orang kurang upaya cacat penglihatan dan berikannya sepenuh kasih sayang dan perhatian yang diperlukan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan zakat Prudential BSN Takaful di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Disiarkan pada: August 13, 2017 @ 6:21am
d