mutakhir

Agih pembangunan semua negeri sama rata

Oleh HM Digital

Machang: Kerajaan Pusat tidak membeza-bezakan rakyat dalam mengagihkan projek pembangunan, sebaliknya memastikan semua golongan menerima kemakmuran daripada pelaksanaan projek itu termasuk penduduk negeri ditadbir pembangkang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, sebagai pemimpin yang mengikut syariat Islam sebenar, beliau memastikan semua peringkat masyarakat merasai nikmat sama rata dan berusaha membantu negeri yang memerlukan.

“Kita sebagai Kerajaan Pusat mahu melakukan yang terbaik untuk semua rakyat tidak kira penduduk negeri mana pun, termasuk di Kelantan yang dipimpin parti pembangkang.

“Saya tidak pernah untuk mengamalkan dasar menghukum rakyat Kelantan, sebaliknya kita anggap masyarakat di sini adalah rakyat Malaysia yang turut perlu dibelai, dibantu dan dipastikan keperluannya terjaga.

“Kalau diukur dengan peruntukan sahaja, ambo (saya) sudah beri banyak, malah lebih banyak daripada pemimpin yang 22 tahun memimpin negara.

“Ketika Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) ketika itu beliau beri RM3.34 bilion untuk Kelantan, tetapi waktu ambo (saya) dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), ambo beri RM12.8 bilion, hampir empat kali ganda bezanya. Nak lapangan terbang, kita beri... lebuh raya, hospital... apa lagi?

“Ambo bagi belako (saya beri semuanya) kerana perintah Allah SWT, sebagai pemimpin kena berlaku adil. Dan apabila Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) siap nanti, akan lebih maju dan makmurlah negeri ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Machang, di sini, semalam.

Disiarkan pada: August 13, 2017 @ 6:24am
d