mutakhir

Lori asid terbalik

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Pasukan bomba mengambil masa lebih 12 jam untuk membersihkan tumpahan asid dari sebuah lori tangki yang terbalik dalam kemalangan di Kilometer 251.6, Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Plaza Tol Senawang, di sini, semalam.

Kemalangan yang berlaku jam 3 pagi itu menyebabkan laluan di kedua-dua arah terpaksa ditutup menyebabkan berlaku kesesakan teruk sejauh lebih 10 kilometer.

Lori membawa muatan 25,000 liter cecair kimia jenis Ethyl Acetate itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu terbalik merempuh penghalang jalan manakala sebuah Toyota Vios yang mengekori di belakang cuba mengelak, tetapi melanggar bahagian belakang lori tangki itu.

Pemandunya, Surazru Mohamed Sakeri, 37, maut di lokasi akibat cedera parah di kepala manakala dua remaja perempuan berusia 18 dan 19 tahun iaitu pemandu serta penumpang kereta Toyota Vios yang terlanggar belakang lori, cedera ringan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata, sebanyak empat jentera termasuk pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan.

Menurutnya, bomba tiba di lokasi jam 3.37 pagi dan mendapati berlaku tumpahan cecair kimia dan terpaksa mengarahkan laluan di kedua-dua arah ditutup kerana dikhuatiri berlaku kebakaran dan letupan.

Katanya, operasi membabitkan kekuatan 27 pegawai dan anggota dengan diketuai Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Muktar.

“Peringkat awal operasi, kita mengesan jenis bahan kimia itu dan menyelamatkan mangsa. Kita juga mengarahkan jalan ditutup kerana tumpahan itu membabitkan kuantiti yang banyak iaitu separuh daripada muatan berkenaan.

“Anggota menjalankan pemeriksaan tumpahan di longkang dan membuat takungan untuk menyekat sumber air daripada tercemar. Kita kemudian dibantu Kualiti Alam menyedut tumpahan ke tangki untuk tujuan pelupusan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, kerja pengalihan lori tangki dan pembersihan sisa tumpahan itu dilakukan secara berhati-hati dan operasi selesai sepenuhnya jam 4 petang semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, siasatan polis mendapati lori tangki dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor hilang kawalan dan terbalik menyebabkan Toyota Vios yang berada di laluan sama melanggar bahagian belakang lori tangki itu.

“Pemandu disahkan meninggal dunia dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk bedah siasat. Pemandu dan penumpang kereta iaitu pelajar perempuan sebuah kolej swasta di Melaka berusia 18 dan 19 tahun cedera ringan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: August 13, 2017 @ 6:52am
d