mutakhir

Ajal kenderaan dilanggar

Oleh Junaidi Ladjana

PENIAGA pasar tamu maut selepas Perodua Rusa dinaiki dilanggar sebuah kereta sebelum terbabas dan merempuh pokok di Jalan Tuaran Bypass berhampiran Jambatan Kampung Darau, Manggatal, Kota Kinabalu, pagi hari ini.

Dalam kejadian 4.12 pagi itu, Kublaikan Abdul Taif, 41, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya berusia sembilan tahun cedera ringan dan seorang lagi penumpang berusia 55 tahun patah tulang peha dan pinggul.

Pemandu Honda Civic berusia 25 tahun hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, Honda Civic dari arah pusat bandar raya menuju ke UA Apartmen manakala Perodua Rusa dari arah Kampung Warisan ke Tuaran untuk berniaga di pasar tamu Tuaran.

"Sebaik tiba di lokasi kemalangan, pemandu Honda Civic yang melalui Jambatan Kampung Darau hilang kawalan lalu terlanggar belakang Perodua Rusa.

"Akibatnya, Perodua Rusa terbabas ke kiri jalan dan melanggar pokok sehingga pemandu dan dua penumpang tercampak keluar dari kenderaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Chandra berkata, pemandu Perodua Rusa disahkan meninggal dunia dan mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai akibat kecuaian pemandu Honda Civic yang gagal mengawal kereta sehingga berlaku kemalangan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Disiarkan pada: August 13, 2017 @ 5:04pm
d