mutakhir

Bayar RM69 dulu...

Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Kuala Lumpur: Kutip wang deposit dalam jumlah kecil bagi memastikan kegiatan penipuan tidak dicurigai mangsa. Itu antara taktik diguna pakai sindiket menawarkan jualan telefon pintar yang aktif memperdaya mangsa dengan hanya meminta bayaran RM69.

Malah, sindiket itu turut dikesan menggunakan pelbagai nama samaran di laman sosial Facebook.

Mangsa Lie Jia Ying, 19, berkata, dia turut tertipu dengan sindiket itu apabila melayari sebuah akaun Facebook yang menawarkan pelbagai telefon pintar pada harga murah pada 13 Mei lalu.

“Saya amat berminat dan segera menghubungi penjual terbabit untuk membuat tempahan empat aksesori telefon pintar. Peniaga itu meminta saya membuat pembayaran dengan segera berikutan promosi berkenaan akan tamat pada hari itu

“Saya membuat pembayaran menerusi satu akaun bank dan peniaga terbabit memberitahu barangan ditempah akan sampai dalam masa tiga hari waktu bekerja selain akan menghubungi saya apabila barang itu sudah dihantar.

“Saya menunggu sehingga sebulan, namun sehingga kini masih belum menerima telefon pintar dijanjikan. Saya cuba menghubungi peniaga itu semula, namun gagal,” katanya.

Katanya, dia turut mendapati peniaga itu sudah mengubah nama akaun Facebook perniagaannya kepada beberapa nama lain dipercayai bagi memperdaya pelanggan lain.

“Saya kini berjaya mengumpul bukti seramai 106 mangsa yang turut diperdaya dipercayai menggunakan 11 nombor akaun bank berbeza dan mereka dipercayai sindiket penipuan perniagaan dalam talian,” katanya.

Katanya, dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju, di sini, untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 9:39am
d