mutakhir

Tabur bakti di tanah air

Oleh Nur Saliawati Salberi

Alor Gajah: “Selepas enam tahun berusaha keras, kini tiba masanya untuk saya menabur bakti dan berkhidmat di tanah air,” kata penuntut perubatan terbaik Malaysia di Universiti Perubatan Warsaw, Poland, Dr Nor Syahirah Mohd Nor yang sebelum ini menerima Anugerah Golden Graduation.

Anak kelahiran Kampung Ramuan China, Masjid Tanah itu berkata, dia mempersiapkan diri sementara menunggu dipanggil untuk ditempatkan di hospital bagi memulakan tugasnya sebagai doktor.

Menurut wanita berusia 26 tahun itu, kejayaan dinobatkan sebagai penuntut terbaik perubatan bukan satu keselesaan buatnya, malah akan berusaha memberi perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat selepas ini.

“Buat masa ini, saya belum tahu akan ditempatkan di hospital mana dan menunggu keputusan daripada Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

“Saya sedar selepas ini akan menempuh pengalaman baru kerana pasti berdepan pelbagai situasi dan kerenah pesakit namun saya bersedia menghadapinya,” katanya ketika ditemui selepas menerima Sijil Penghargaan daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) Bahagian Masjid Tanah, semalam.

Sijil itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersempena Majlis Penutup Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah dan Pusat Tamadun Islam Parlimen Masjid Tanah di Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Durian Daun Masjid Tanah, Alor Gajah.

Nor Syahirah berkata, kecemerlangannya sehingga membolehkan dia menerima anugerah tertinggi itu adalah kerana minatnya dalam bidang biologi.

“Sepanjang enam tahun berada di perantauan, pelbagai halangan perlu ditempuh namun saya bersyukur kerana semuanya dapat dihadapi berkat doa ibu dan ayah,” katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 9:52am
d