mutakhir

Kempunan berbulan madu

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

Bukit Mertajam: Seorang suami berusia 30 tahun bukan saja menderita menghidap kencing manis, malah kempunan tidak dapat berbulan madu bersama isteri selepas kaki kanannya dipotong sebulan selepas mereka melangsungkan perkahwinan.

Megat Azri Megat Ibrahim berkata, dia dan isteri Nurul Akma Kamaruddin, 31, melangsungkan perkahwinan mereka pada Jun tahun lalu dan sehingga kini belum dikurniakan zuriat.

Dia berkata, sebelum kaki kanannya kudung, satu jari kaki kanannya sudah dipotong ketika menaiki pelamin dalam majlis perkahwinannya.

“Selain menghidap kencing manis sejak berusia 12 tahun, saya turut menghidap hepatitis C iaitu jangkitan kuman di hati, sekali gus kuman itu merebak ke bahagian kaki yang luka itu.

“Kaki kanan terpaksa dipotong dari paras atas lutut di Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada hujung Julai tahun lalu namun kesan itu membuatkan penglihatan mata saya seakan buta iaitu rosak hampir 90 peratus,” katanya yang tinggal di Apartmen Permata, Bandar Perda, di sini.

Megat Azri berkata, dia bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila turut mengalami masalah paru-paru berair dan mengalami masalah membuang air besar apabila usus pembuangan najisnya mengecil serta mengalami masalah kencing kerap.

Menurutnya, akibat kompilasi penyakit dihidapi itu, dia kini hanya mampu bergerak di dalam rumah menggunakan kerusi roda selain terpaksa mengharapkan bantuan isterinya untuk mencari rezeki.

“Saya hanya makan di awal pagi selepas isteri, Nurul Akma menyediakan sarapan sebelum dia keluar bekerja kilang dan ada kalanya waktu makan tengah hari terpaksa diabaikan disebabkan mata saya tidak dapat melihat, sekali gus sukar melakukan sebarang aktiviti di dalam rumah.

“Bekas berisi biskut, kopi atau lain-lain makanan sudah diletakkan di atas meja supaya senang saya capai jika berasa lapar, mujurlah ada jiran prihatin memberikan makanan tengah hari sebelum isteri saya pulang dari kerja untuk menyediakan makan malam,” katanya.

Mereka yang ingin meringankan bebanan Megat Azri boleh menyumbang ke dalam akaun Maybank (162311712207) atas nama isterinya, Nurul Akma Kamaruddin atau menghubunginya di talian 019-5097512.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 10:13am
d