mutakhir

Kempunan haji bersama suami

Oleh Siti Salmiah A Hamid

Kelana Jaya: Di satu sudut kelihatan Isa Patimpa, 57, termenung dan sesekali berbual bersama saudara yang menemaninya.

Namun pandangan wanita itu seolah-olah menembusi jemaah haji lain yang turut berada di Kompleks Tabung Haji, di sini.

Wanita dari Tawau, Sabah itu sebenarnya mengingati janji yang dipateri bersama suaminya untuk sama-sama menunaikan ibadat haji satu hari nanti namun orang tersayang terlebih dulu menemui pencipta-Nya sebelum mereka sempat pergi bersama.

“Sudah 22 tahun arwah meninggalkan mak cik sekeluarga selepas ditimpa kemalangan ketika bekerja di dalam hutan. Ikutkan, kami mahu buat haji semasa muda lagi tetapi tak ada rezeki masa tu.

“Sejak itu, mak cik bekerja sendiri selain menerima wang PERKESO untuk membesarkan anak-anak sehingga mereka mampu berdikari,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, semangat untuk menjadi tetamu Allah di bumi anbia tidak pernah luput, malah dia berjimat cermat menyimpan wang pemberian anak-anak serta insurans yang diterimanya itu ke Tabung Haji (TH).

“Setiap bulan makcik akan masukkan sedikit wang ke akaun TH selain berdoa dan bersabar agar dipanggil segera.

“Ketika menerima panggilan daripada TH makcik berasa terkejut dan menangis kerana dijemput ke sana sebelum usia 60 tahun dan sewaktu masih sihat untuk bergerak jauh.

“Alhamdulillah, ia adalah berkat kesabaran bertahun-tahun dan berharap dapat menunaikan haji yang sempurna lagi mabrur,” katanya dengan mata yang berkaca-kaca.

Lebih manis lagi apabila pemergian kali pertamanya itu ditemani saudara terdekat, Andi Jintan dan Bunga.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 10:23am
d