mutakhir

Teater tengah sawah

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sungai Besar: “Ini kali pertama saya menyaksikan teater secara langsung, selama ini saya hanya lihat melalui televisyen,” kata petani Dursani Ijoh, 70, penonton teater muzikal Uda dan Dara yang dipentaskan di Parit Dua Barat, di sini, malam kelmarin.

Lebih menarik, teater arahan Shamsudin Osman atau lebih dikenali Dinsman itu diadakan di tengah sawah padi.

Ia dipentaskan dari Jumaat hingga malam tadi dari jam 9 hingga 11.30 malam.

Teater yang diadakan secara percuma itu menarik kehadiran antara 700 hingga 800 penonton setiap malam.

Dursani berkata, teater itu memberi impak positif kepada penonton khususnya penduduk setempat.

“Setakat ini tidak pernah ada pementasan teater di sini dan kami sangat teruja selepas ada produksi sudi membawa teater itu ke sini.

“Pada saya persembahan sangat menarik, malah ada pengunjung dari luar daerah tidak melepaskan peluang datang ke sini,” katanya.

Pengawal keselamatan Rosli Mohd Said, 48, berkata, teater itu boleh dianggap luar biasa bagi penduduk luar bandar.

“Kebiasaannya, individu yang menonton teater perlu ke Istana Budaya dan bayar harga tiket mahal.

“Namun peluang menonton teater percuma dan kali pertama dalam hidup saya diingati hingga ke akhir hayat,” katanya.

Sementara itu, Dinsman berkata, teater yang dibarisi pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu bertujuan mengingati jasa Allahyarham Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr Usman Awang dalam dunia sastera selain mengeratkan lagi hubungan antara karyawan serta masyarakat setempat.

“Program tiga hari ini bukan saja mengenang karya Usman Awang, malah memberi kepentingan meluas mengenai sastera yang selama ini diambil ringan oleh masyarakat di negara ini.

“Malah, barisan pelakon terpilih menghangatkan lagi pentas teater dalam melakonkan semula karya yang ditulis satu ketika dulu,” katanya.

Teater berkenaan diinspirasikan daripada kisah perjuangan penduduk kampung yang sanggup bermati-matian mempertahankan hak mereka daripada dirampas lintah darat diketuai Alang Bakhil selain percintaan antara dua kekasih iaitu Uda dan Dara.

Ia dibarisi pelakon Mohd Taufiq Izmir Tawaf sebagai Uda, Yuzara Amrand sebagai Dara, Hafidz Haikal sebagai Alang Bakhilk dan penampilan istimewa pengarah filem Dia Ibuku (1981) dan pelakon Momok: Jangan Panggil Aku (2011), Yassin Salleh.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 10:47am
d