mutakhir

Mercun halau babi hutan 'makan' jari

Oleh Khairul Hamizy Ramlee

Kuala Terengganu: Niatnya menghalau babi hutan menggunakan mercun, namun tindakannya itu memakan diri apabila jari tengah tangan kanannya putus terkena letupan mercun bola itu.

Mohd Shah Nizam Mamat, 23, yang berasal dari Jeli, Kelantan, berkata, sebelum kejadian jam 9 pagi Jumaat lalu, dia bersama abang kandung yang tinggal di Kampung Baru Kemasik, Kemaman bertolak ke hutan Air Putih untuk menjerat burung.

Ketika khusyuk menjerat burung, seekor babi hutan tiba-tiba membuat gangguan di sekitar jerat burungnya.

“Saya teringat ada mercun bola lama di dalam kereta lalu mengambilnya untuk menghalau babi itu.

“Bagaimanapun, nasib lebih menyebelahi babi itu apabila mercun bola untuk dilempar padanya terkena saya dulu.

“Sumbu mercun itu terpadam tiba-tiba dan saya menyalakan semula sebelum ia terus meletup dalam genggaman tangan,” katanya yang berasal dari Jeli, Kelantan.

Menurutnya, letupan kuat itu menyebabkan telinganya bingit sehingga matanya terpejam rapat.

Sebaik membuka mata, dia tergamam melihat tangannya melecur teruk dan jari tengah tangan kanannya hancur.

“Tanpa berlengah, abang saya terus membalut tangan dengan kain dan bergegas menghantar saya ke Klinik Kesihatan Durian Mas sebelum diminta ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk menjalani pembedahan,” katanya yang bekerja sebagai mekanik.

Menurutnya, doktor memberitahu jari tengah tangan kanannya terjejas teruk dan tidak dapat diselamatkan.

“Saya sebenarnya tak suka main mercun meskipun pada musim perayaan. Saya tetap reda atas ketentuan ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 11:02am
d