mutakhir

8 penyelam cari nelayan

Oleh Rosli Ilham

LAPAN penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari inimelakukan selaman bagi mencari nelayan yang dipercayai terjatuh di laut di perairan berdekatan Kampung Jambu Bongkok di Marang.

Ketua Komanden Operasi JBPM Terengganu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasan Embong berkata, penyelam terbabit membuat selaman di kawasan jarak 800 meter dari tempat mangsa dipercayai terjatuh hingga ke pantai.

Menurutnya, operasi mencari yang disambung pagi hari ini membabitkan 127 anggota pelbagai agensi termasuk nelayan dengan menggunakan bot.

"Kita juga memperluaskan pencarian sepanjang 15 kilometer hingga ke Kuala Dungun dan 15 kilometer hingga ke Pasir Putih.

"Sebanyak 49 bot termasuk 36 bot nelayan membantu pihak berkuasa terbabit dalam usaha mencari mangsa hari ini," katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya mangsa masih berada di kawasan sekitar tempat dia dipercayai terjatuh memandangkan sejak kejadian keadaan arus tidak kuat.

"Kita percaya mangsa tidak mungkin dibawa arus ke luar kawasan ini," katanya.

Mangsa, Zakaria Omar, 58, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar memukat ikan di kawasan berkenaan kira-kira 6 pagi kelmarin.

Isterinya, Fatimah Ibrahim, 50, kemudiannya pergi ke pengkalan nelayan untuk mencarinya sebelum memaklumkan kepada nelayan lain.

Bot gentian kaca yang digunakan mangsa kemudiannya ditemui tersadai di tepi pantai dekat Kampung Rantau Abang kira-kira 6.30 petang kelmarin.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 12:28pm
d