mutakhir

Rampas syabu bernilai RM16,800

Oleh Mohd Ruzaini Zulkepli

POLIS menahan warga asing berusia 18 tahun dan merampas empat paket syabu bernilai RM16,800 dalam serbuan di Kampung Suangon, Jalan Baru Kinarut, Papar, 11 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman berkata, dalam kejadian 8.45 malam itu, suspek yang menunggang motosikal jenis Modenas itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

Beliau berkata, suspek cuba melarikan diri sebaik dihampiri polis namun berjaya ditahan di lokasi kejadian.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui bungkusan plastik berwarna hitam di bakul motosikal.

"Empat paket plastik lut sinar berisi syabu ditemui dalam plastik itu. Dadah itu disyaki cuba dijual suspek di lokasi berkenaan," katanya dalam sidang media di IPD Papar, hari ini.

Ladamah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 5:21pm
d