mutakhir

SPRM tak puas hati

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

TIDAK puas hati dengan pembatalan tempoh reman terhadap Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan kemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membatalkan tempoh reman selama lima hari ke atas Boon Poh bersama pengarah dan pengurus kilang haram yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Georgetown pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed yang membatalkan perintah reman itu.

"Kami akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

"Kami memandang serius perkara ini kerana keputusan itu menjejaskan proses siasatan pembabitan Boon Poh dan dua lagi suspek," katanya.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini, membenarkan permohonan semakan untuk membatalkan tempoh reman lima hari terhadap Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang itu bersama pengurus dan pengarah kilang haram yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Georgetown, Sabtu lalu.

Abdul Wahab memutuskan keputusan terbabit selepas mempertimbangkan hujah pihak SPRM dan peguam tertuduh.

Bagaimanapun hakim membenarkan SPRM untuk memohon semula perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri manakala Boon Pooh diwakili peguam Ramkarpal Singh dan R S N Rayer dan Dev Kumareandran.

Ahad lalu, Mahkamah Tinggi Alor Setar menolak permohonan semakan untuk batalkan tempoh reman lima hari ke atas Boon Poh yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Georgetown.

Jumaat lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu itu bersama dua beranak yang juga pengarah dan pengurus kilang itu ditahan SPRM bagi membantu siasatan operasi kilang haram di tanah pertanian di Sungai Lembu, Penanti.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 8:41pm
d