mutakhir

Kilang perabot terbakar, pekerja Nepal melecur

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PEKERJA lelaki warga Nepal berusia 35 tahun melecur di kedua-dua tangan dan kaki dalam kebakaran di kilang perabot di Jabi, Alor Setar, pada 6.50 petang hari ini.

Mangsa, Dhan Bahadur berjaya diselamatkan pekerja lain yang menyedari dia berada di bahagian belakang kilang berkenaan.

Dia kemudian diberi rawatan awal oleh anggota Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah,Penolong Penguasa Bomba Mohamad Haiqal Izwan Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.54 petang dan sepasukan anggota dari BBP Alor Setar seramai 14 orang tiba di lokasi jam 7.05 malam.

Beliau berkata, setibanya di lokasi didapati api sedang marak, namun kebakaran berjaya dikawal jam 7.35 malam dan dipadam sepenuhnya jam 7.50 malam.

"Kita turut dibantu sembilan Pasukan Bomba Sukarela dari Kuala Kedah,Rangkaian Simpang Empat,Simpang Empat,Kilang Tebu,Tanah Merah Pendang, Bukit Pinang,Pokok Sena untuk memadam kebakaran.

"Kebakaran ini hanya memusnahkan 40 peratus perabot kayu selepas api berjaya dipadamkan anggota kami daripada merebak," katanya ditemui di lokasi.

Mohamad Haiqal berkata, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, pemilik kilang yang hanya dikenali sebagai Ah Chai,50- an berkata, kilang perabot itu beroperasi sejak2004 dan hanya membuat perabot kayu.

Katanya,kebakaran itu hanya membabitkan sejumlah kecil perabot di bahagian belakang kilang berkenaan namun kerugian belum dapat ditafsirkan lagi.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 9:12pm
d