mutakhir

Jeritan penyelamat [METROTV]

Oleh Rosliza Mohamed

JERITAN minta tolong menyelamatkan seorang gadis daripada menjadi mangsa cabul seorang lelaki dalam bas ekspres dua tingkat milik syarikat berpengkalan di Kota Bharu.

Difahamkan, kejadian berlaku Jumaat lalu ketika gadis berkenaan yang berusia lingkungan 20-an menaiki bas terbabit dari Kajang, Selangor untuk ke Jerteh, Terengganu.

Ketika itu, hanya dia dan lelaki lingkungan usia 30-an sahaja, penumpang di dalam bas itu dan kedua-duanya duduk di tempat duduk berasingan di tingkat atas kenderaan.

Jurucakap syarikat bas ekspres terbabit ketika dihubungi berkata, pemandu kedua (gantian) bas berkenaan mendengar jeritan mangsa kira-kira 8.30 pagi, beberapa minit selepas kenderaan itu keluar dari hentian bas di Kajang.

"Sebaik terdengar jeritan, pemandu naik ke tingkat atas dan melihat lelaki berkenaan cuba mencabul mangsa.

"Dia kemudian menangkap lelaki itu dan menyelamatkan mangsa. Berlaku sedikit pergelutan sebelum lelaki berkenaan dibawa ke Balai Polis Putrajaya untuk tindakan lanjut," katanya, hari ini.

Beliau turut mengesahkan rakaman video yang tular di laman sosial mengenai tangkapan ke atas lelaki berkenaan.

Katanya, kejadian itu pertama kali berlaku membabitkan penumpang di dalam bas kelolaan syarikat dan langkah keselamatan akan ditambah baik, memastikan kejadian sama tidak berulang.

Rakaman video yang tular sejak semalam menunjukkan seorang lelaki dibelasah di dalam bas ekspres oleh pemandu yang turut menyelar tindakan keji dilakukannya.

Perbualan dalam rakaman itu turut menyebut mahu menyerahkan lelaki itu kepada polis untuk tindakan.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 11:31pm
d