mutakhir

Lapan jam buntu cari jalan keluar

Oleh HM Digital

Gombak: Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang menyelamatkan lima individu yang sesat lebih lapan jam di Hutan Lipur P2, Ulu Yam, Jalan Sungai Tua, di sini, semalam.

Wong Sing Yean, 35, Wong Kim Yuen, 49, Yeo Soh Hong, 52, Chong Yoke Fong, 54, dan Sor Meng Loke, 55, gagal menemui jalan keluar selepas melakukan aktiviti riadah sebelum seorang daripada mereka membuat panggilan kecemasan.

Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.15 malam dan anggota BBP Selayang dikerah ke lokasi.

“Seramai 23 anggota bomba termasuk anggota bomba sukarela dari Kepong dan Gombak terbabit dalam operasi ini.

“Pegawai bertugas berhubung dengan mangsa bagi memastikan mangsa tidak bergerak ke kawasan lain bagi memudahkan pencarian,” katanya.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati mangsa tersasar kira-kira satu kilometer dari laluan utama.

Mohd Sani berkata, jam 7.15 pagi semalam, mangsa ditemui dalam keadaan keletihan dan kelaparan.

“Kami mengambil masa setengah jam untuk membawa mangsa keluar. Semuanya selamat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 5:39am
d