mutakhir

Tunggu api padam dulu

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang akan memulakan proses menyita kilang habuk kayu haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti selepas api dan bara terdapat di 31 kawah pembakaran habuk kayu untuk menghasilkan karbon bagi penapis air di situ padam sepenuhnya.

Pengarah JAS negeri Rusnani Abdullah berkata, pegawainya sudah membuat pemeriksaan di kilang itu dan mendapati semua kawah untuk proses pembakaran habuk kayu masih ada api dan bara menyebabkan mereka meminta bantuan bomba.

“Kami dimaklumkan bomba memerlukan masa di antara empat hingga tujuh hari untuk memadamkan api berkenaan dan sekiranya penyitaan dibuat tanpa memadamkan api dalam kawah, dikhuatiri api akan merebak tanpa kawalan.

“JAS akan menyita kilang berkenaan selepas api dipadamkan sepenuhnya dan penguatkuasaan dibuat mengikut Seksyen 38, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 berikutan pencemaran alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Sungai Lembu mendesak kilang memproses habuk kayu itu ditutup berikutan ia dilihat masih beroperasi biarpun sudah mendapat notis dan arahan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan JAS selepas premis berkenaan diserbu, Khamis lalu.

Tinjauan persekitaran kilang yang terletak di dalam ladang kelapa sawit itu mendapati beberapa pekerja sedang mengawal kepulan asap di dapur pembakaran daripada terus merebak seakan-akan operasi di kilang terbabit berjalan seperti biasa.

Seorang pekerja tempatan berusia 50-an yang enggan dikenali memaklumkan dia sudah mengawal asap selama empat hari selepas majikannya ditahan untuk siasatan.

“Kita terpaksa kawal kerana jika tidak kesan lebih buruk akan berlaku terutama masalah pencemaran udara yang lebih serius,” katanya ketika ditemui.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Lembu Tan Sing Lee berkata, penduduk sentiasa memantau keadaan kilang haram berkenaan selepas serbuan itu berikutan ia diarahkan menghentikan operasi.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 5:44am
d