mutakhir

Remaja bawa syabu RM16,800 ditangkap

Oleh HM Digital

Papar: Seorang remaja lelaki warga asing tidak sempat melakukan urusan jual beli dadah selepas dicekup bersama syabu seberat 200.12 gram dianggarkan bernilai RM16,800 dalam serbuan berhampiran Kampung Suangon, Jalan Baru Kinarut, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 8.45 malam, suspek berusia 18 tahun itu dikatakan menunggu pelanggan di lokasi berkenaan sebelum diserbu anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman berkata, suspek yang dalam keadaan mencurigakan itu dikatakan menunggang motosikal Modenas dan sebaik dihampiri polis, remaja terbabit cuba melarikan diri namun ditahan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis menemui satu bungkus plastik berwarna hitam yang disorokkan dibakul motosikal dipercayai mengandungi empat peket plastik lutsinar berisi syabu.

“Hasil pemeriksaan suspek, kami menemui satu bungkusan plastik berwarna hitam yang diletakkan dalam bakul motosikal dimilikinya.

“Kami kemudian menemui empat peket plastik lutsinar berisi syabu seberat 200.12 gram disyaki cuba dijual suspek,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di IPD Papar, di sini, semalam.

Ladamah berkata, syabu berkenaan dianggarkan bernilai RM16,800 dan disyaki cuba diedarkan untuk pasaran setempat.

“Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia negatif namun polis menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kes berkenaan.

“Semua barangan yang dirampas termasuk syabu dan motosikal dibawa ke IPD Papar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 5:51am
d