mutakhir

Lorong tol frekuensi radio

Oleh Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

Bentong: Teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) akan digunakan sekurang-kurangnya pada satu lorong untuk kenderaan kelas pertama bagi urusan pembayaran di semua plaza tol seluruh negara mulai Januari tahun depan.

Terdahulu, sistem berkenaan sudah dilaksanakan di lapan plaza tol terpilih untuk diuji mulai semalam.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ismail Md Salleh berkata, penggunaan sistem yang menggunakan pelekat itu dilakukan secara berperingkat sebelum dilaksanakan sepenuhnya menjelang 2020.

Katanya, pada peringkat awal sistem itu akan digunakan pada kenderaan berkecuali seperti polis, ambulans dan bomba.

“Bagaimanapun, kita akan laksanakan sistem ini secara berperingkat dengan kenderaan polis dulu sebelum ditukar untuk kelas yang lain.

“Kita perlu berdepan pelbagai cabaran dari sudut penguatkuasaan undang-undang, pelaburan serta kesedaran awam sebelum melaksanakan sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Elektronik (ETC) sepenuhnya Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 di Plaza Tol Karak, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif ANIH Berhad Datuk Nik Fauzi Nik Hussein.

Dalam pada itu, Ismail berkata, penggunaan ETC sepenuhnya dilaksanakan di 19 plaza tol di LPT Fasa 1 dan 2 bermula jam 12 tengah hari semalam

Katanya, antara plaza tol terbabit termasuk Karak, Lanchang, Temerloh, Chenor, Maran, Sri Jaya, Gambang, Kuantan dan Jabor, Terengganu.

“Menerusi pelaksanaan sistem berkenaan, pengguna lebuh raya boleh menggunakan kad Touch n Go (TnG) dan Smart Tag bagi transaksi bayaran tol.

“Syarikat (pengendali LPT) turut menempatkan kakitangan di lorong bagi membantu pengguna jika mereka menghadapi masalah ketika melaksanakan transaksi pembayaran tol,” katanya.

Menurutnya, selain itu kios layan diri di kawasan rehat dan rawat (R&R) turut disediakan di Temerloh dan Gambang bagi membolehkan pengguna yang berhenti rehat membeli atau menambah nilai kad TnG mereka.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 6:10am
d