mutakhir

37 penduduk dipindah akibat banjir

Oleh Recqueal Raimi

SERAMAI 37 penduduk membabitkan tujuh keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir di 12 kampung di Kota Belud, kira-kira jam 2 pagi hari ini.

Semua mangsa banjir kini ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Tun Said.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Belud, Paulina Francis berkata, hujan lebat sejak jam 3 petang semalam menyebabkan semua kampung terbabit dinaiki banjir dan seramai 37 penduduk tinggal di pusat pemindahan sehingga kini.

"Selepas menerima panggilan kecemasan operasi memindahkan penduduk dijalankan dan membuka satu PPS di Dewan Masyarakat Tun Said untuk menempatkan semua mangsa banjir," katanya hari ini.

Paulina berkata, Sungai Tempasuk dan Sungai Bobot juga turut mencapai paras bahaya iaitu pada ketinggian 5.41 meter.

"Pengguna jalan raya juga dinasihatkan berhati-hati khususnya di Jalan Siasai Tamu, Jalan Bobot, Jalan Kampung Kota Belud, Jalan Kampung Menunggui, Jalan Kampung Gunding, Jalan Kampung Lingkodon dan Jalan Kampung Donggoi yang dinaiki air.

"Anggota APM akan memantau dari semasa ke semasa sebagai langkah keselamatan dan mengenal pasti penduduk yang perlu dipindahkan," katanya.

Antara kampung yang terbabit banjir iaitu Kampung Bobot, Kampung Ejuk, Kampung Siasai, Tamu, Kampung Siasai Kupang, Kampung Kota Belud, Kampung Menunggui, Kampung Donggoi, Kampung Linau, Kampung Sadok-Sadok, Kampung Gunding, Kampung Lebak Engad dan Kampung Timbang.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 9:40am
d