mutakhir

3,016 stesen minyak sedia beri bantuan awal

Oleh Mohd Hasbi Sidek

SEBANYAK 3,016 stesen minyak di seluruh negara sudah berkolaborasi dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjadi lokasi orang ramai mendapatkan bantuan awal ketika kecemasan menerusi program Go To Safety Point (GTSP).

Program yang diperkenalkan pada 2013 itu membabitkan 560 stesen minyak Petron, 960 stesen Shell, 11 stesen minyak BHP, 1,065 stesen minyak Petronas dan 420 stesen Caltex.

Ketua Penolong Pengarah Pendataan dan Analisa Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Sun Teoh Tia berkata, inisiatif itu diperkenalkan untuk memberi akses kepada orang awam bagi mendapatkan bantuan ketika menghadapi situasi kecemasan.

Katanya, penyelia di stesen minyak yang terbabit diberi kursus untuk menghadapi kecemasan yang juga diajar kepada pekerjanya.

Mereka akan menenangkan mangsa, menjaga keselesaannya, menghubungi pihak polis dan hospital serta menemani mangsa sehingga bantuan tiba.

Selain itu, pelekat GTSP serta papan keselamatan antara elemen lain yang akan diadakan di stesen minyak berkenaan.

"Terbaru, kita menjemput syarikat Caltex yang mempunyai 420 stesen minyak di semenanjung Malaysia untuk menyertai dan menjadi rakan kolaborasi GTSP.

"PDRM juga sedang membuat kajian untuk memperluaskan inisiatif ini dengan membabitkan lebih banyak sektor swasta yang lain," katanya di sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 2:04pm
d