mutakhir

Dua pencuri kabel ditahan

Oleh Farah Suhaidah Othman

DUA rakan dipercayai terbabit dalam kegiatan curi kabel di sekitar Tanjung Rambutan ditahan di sebuah rumah di Bercham, Ipoh, kelmarin.

Serbuan 1.45 petang dijalankan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Dalam serbuan itu, polis menahan lelaki berusia 35 tahun dipercayai dalang utama kegiatan berkenaan dan rakannya berusia 48 tahun.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Pemeriksaan awal mendapati suspek yang dipercayai dalang utama mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan curi dan pecah rumah manakala seorang lagi tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan IPD di Balai Polis Pasir Putih, hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas kunci dan sebuah Proton Iswara, tujuh gulung kabel telekomunikasi dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kabel termasuk dua gergaji, pengorek lubang dan cangkul.

"Kedua-dua suspek direman empat hari hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 4:36pm
d