mutakhir

Tanah runtuh, air lumpur deras

Oleh Rafiqah Dahali

“AIR membawa bersama lumpur meranapkan dinding rumah menyebabkan kedengaran dentuman kuat sebelum saya memeluk anak-anak dan isteri yang ketakutan," kata Jimlee Katod, 54, penduduk Kampung Kogowon dekat Kawang di Papar.

Beliau menceritakan detik cemas tanah runtuh di belakang rumahnya sebelum air bukit bersama lumpur mengalir deras menyebabkan kediaman di lereng bukit di kampung terbabit terjejas dan tidak selamat untuk diduduki.

Jimlee berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 4 petang semalam susulan hujan lebat mengakibatkan hakisan tanah di bukit di belakang rumahnya yang membawa bersama air lumpur.

"Selepas dinding rumah runtuh, air bersama lumpur mengalir dengan banyak dalam rumah saya. Saya kemudian membawa isteri dan enam anak keluar rumah untuk menyelamatkan diri di kawasan lebih selamat.

"Saya kemudian cuba membuat panggilan untuk mendapatkan bantuan tetapi sukar kerana masalah talian, namun lega kerana akhirnya dapat juga menghubungi rakan bagi memaklumkan keadaan kami sekeluarga.

"Syukur hari ini kami menerima bantuan makanan dan barangan keperluan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Papar.

"Buat sementara waktu, saya dan isteri masih tinggal di rumah untuk memantau keadaan, namun enam anak kami tinggal sementara di rumah rakan di pekan Papar,'' katanya di sini, hari ini.

Hujan lebat di pantai barat Sabah petang semalam menyebabkan daerah ini turut terjejas apabila 50 penduduk daripada 20 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Penampang Baru, Kimanis.

Mereka adalah penduduk Kampung Penampang Baru dan Kampung Lingan Baru, manakala tiga lagi kampung turut terjejas iaitu Kampung Belatik, Daingin dan Batu 14 Ulu Kimanis namun tiada mangsa dipindahkan.

Sementara itu, mangsa banjir, Vianie Mooi, 56, yang juga Ketua Kampung Penampang Baru berkata, rumahnya dinaiki air akibat limpahan sungai berhampiran sehingga ke paras dada dalam tempoh singkat menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan.

''Kampung ini selalu mengalami banjir dan jika hujan tidak berhenti lebih tiga jam, penduduk akan bersiap sedia untuk memindahkan barang.

''Pada mulanya semalam, banjir naik sehingga paras lutut saja, namun ketika sibuk memindahkan barang ke tingkat atas, air naik ke paras dada dalam tempoh singkat. Mujur kami sempat menyelamatkan dokumen penting," katanya ketika ditemui di Dewan Penampang Baru.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 5:45pm
d