mutakhir

Projek Rakyat bantu rakyat

Oleh Yusmizal Dolah Aling

BAGI membantu rakyat berdepan kos sara hidup yang semakin meningkat, sekumpulan anak muda tampil dengan inisiatif dikenali Projek Rakyat dengan menyediakan barangan basah pada harga lebih murah daripada pasaran.

Digerakkan sejak Jun lalu, Projek Rakyat menyediakan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan bekalan pelbagai jenis ikan sejuk beku dan barangan lain dengan harga murah tanpa perlu melalui orang tengah.

Penyelaras projek, Mohamad Anis Md Yusof berkata, dia bersama sepuluh rakannya terpanggil membantu pengguna 'bebas' daripada orang tengah yang menyebabkan harga bekalan melambung tinggi sejak kebelakangan ini.

"Projek Rakyat yang terbaru pada minggu lalu. Kami beli ikan sejuk beku sebanyak 200 kilogram dan menjualnya di sekitar Putrajaya dengan perbezaan harga sebanyak RM10 sekilogram. Alhamdulillah, ia mendapat sambutan.

"Ini bukanlah bermotifkan keuntungan, tetapi kita mahu semua pihak ada kesedaran untuk membantu sesama kita. Projek Rakyat buktikan bahawa tanpa melalui orang tengah, kita masih boleh mendapat untung, dan pada masa sama, rakyat mendapat manfaatnya," katanya kepada Harian Metro.

Buat permulaan, Projek Rakyat menawarkan ikan kembung pada harga RM10 sekilogram berbanding RM15 ke RM22 dan minyak masak lima kilogram pada harga RM20, berbanding RM23 hingga RM24 di pasaran.

Justeru katanya, lebih banyak program seperti ini akan dijalankan dan berharap ia akan membantu pengguna menjimatkan perbelanjaan dan mendapatkan bekalan bahan mentah pada harga sepatutnya.

Menurutnya, Projek Rakyat bukanlah bertujuan mengambil alih peranan agensi kerajaan, tetapi lebih kepada alternatif kepada masyarakat membeli barangan keperluan mereka.

"Kita juga mahu peniaga lebih bertanggungjawab dengan apa yang dijual, bukan hanya meraih untung yang berlipat kali ganda. Sesiapa juga boleh memainkan peranan sebegini dengan cara sendiri, untuk diri sendiri dan masyarakat," katanya yang mempelawa orang ramai mendapatkan maklumat menerusi laman Facebook, Projek Rakyat.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 6:33pm
d