mutakhir

Langkah jaga kebersihan KL2017

Oleh Nursyahirah Marzuki

SEBANYAK 673 tong sampah dan kitar semula yang bersaiz 240 Liter (L) dan 120 L akan ditempatkan di setiap lokasi penganjuran Sukan SEA 2017 (KL 2017) yang akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, langkah itu diambil bagi memastikan tahap kebersihan di sekitar lokasi penganjuran acara terjaga.

"Kementerian melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) turut terbabit dalam KL2017 yang berperanan memastikan pengurusan sisa pepejal dilaksanakan secara menyeluruh.

"Kebersihan menjadi satu peranan penting dalam temasya KL 2017 bagi memberikan imej yang baik sekali gus mampu menjaga nama baik negara," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan KPKT di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Mohammad Mentek; Ketua Pengarah JPSPN, Ismail Mokhtar; dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim.

Noh berkata, pengurusan sisa pepejal itu akan dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu melalui konsep 3R (Recycle, Reuse, Reduce) sepanjang temasya itu berlangsung.

"Kita juga menasihatkan orang ramai yang hadir ke mana-mana lokasi acara KL2017 bekerjasama dalam memastikan kebersihan kawasan terjaga dan sampah dibuang ditong yang sudah disediakan," katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 6:36pm
d