mutakhir

Tingkat kesedaran pekerja [METROTV]

Oleh HM Digital

Bangi: Majikan perlu meningkatkan kesedaran terhadap aspek keselamatan dalam kalangan pekerja yang menunggang motosikal ke tempat kerja berikutan berlaku peningkatan ketara statistik kemalangan ulang-alik ke tempat kerja tahun lalu.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, statistik menunjukkan peningkatan 10 peratus atau 31,314 kes yang dilaporkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tahun lalu berbanding 28,579 kes pada tahun sebelumnya.

“Kemalangan ulang-alik ke tempat kerja kebanyakannya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal. Ini sebenarnya berkaitan dengan sikap mereka di jalan raya namun ia diberi perhatian serius oleh NIOSH dan Kementerian Sumber Manusia.

“Saya ingin menggesa semua majikan yang mempunyai ramai pekerja terdiri daripada penunggang dan pembonceng, ambil perhatian terhadap statistik ini dengan melaksanakan usaha meningkatkan kesedaran.

“Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994, majikan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan pekerja mereka. NIOSH turut menganjurkan program bersama industri yang memberi fokus aspek keselamatan penunggang dan pembonceng motosikal,” katanya.

“Trend peningkatan kes kemalangan ulang alik ke tempat kerja berlaku sejak 2008 dengan 19,041 kes dilaporkan berbanding 17,682 kes pada tahun sebelum itu dan ia kini terus meningkat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 di ibu pejabat NIOSH, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Ekskutif NIOSH Zahrim Osman dan Setiausaha Eksekutif NIOSH Ayop Salleh.

Terdahulu Lee turut menyaksikan Jalur Gemilang bersaiz 5x10 meter diturunkan menerusi persembahan gimik abseiling oleh pasukan khas latihan bekerja di tempat tinggi NIOSH daripada ketinggian 10 meter di bangunan ibu pejabat NIOSH sebagai simbolik cara bekerja selamat.

Sementara itu, Lee berkata, NIOSH yang turut meraikan ulang tahun ke-25 turut berhasrat untuk membantu negara menurunkan kadar kemalangan industri kepada hanya dua kes bagi setiap 1,000 pekerja seperti negara maju yang lain.

“Kita mahu majikan dan pekerja seluruh negara memberikan keutamaan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam setiap aspek supaya sasaran negara ingin menjadi negara maju tercapai dengan kadar kemalangan industri yang rendah,” katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 5:13am
d