mutakhir

Impian jadi tetamu Allah termakbul

Oleh HM Digital

Kelana Jaya: “Saya tidak menyangka impian menjadi tetamu Allah tahun ini dimakbulkan selepas baru beberapa bulan pergi menunaikan umrah bersama isteri,” kata warga emas, Ismail Endot, 61.

Ismail berkata, dia dan isteri sudah lama menyimpan impian ke Tanah Suci bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu.

“Bersyukur kepada Allah kerana impian untuk menunaikan haji sejak 10 tahun lalu akhirnya tercapai apabila terpilih menjejakkan kaki ke Makkah tahun ini.

“Saya tidak menyangka giliran untuk menunaikan haji akan tiba dalam masa terdekat kerana kami baru saja pergi menunaikan umrah Januari lalu,” katanya.

Dia yang mempunyai lima anak dan dua cucu berkata, ketika mendapat panggilan menjadi tetamu Allah pada bulan Jun lalu, dia dan isteri sangat teruja dan terus membuat persiapan fizikal dan mental sebelum menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Ketika menerima panggilan daripada Tabung Haji, fikiran saya sudah berada di Tanah Suci kerana saya dan isteri tidak menyangka giliran kami tiba secepat ini.

“Sebaik menerima panggilan itu, saya hanya mampu mengalirkan air mata dan memanjat syukur kepada Ilahi kerana diberi peluang menunaikan haji tahun yang sama saya menunaikan umrah,” katanya yang menetap di Kuala Kangsar, Perak.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 5:20am
d