mutakhir

Isteri Pengarang Berita HM meninggal

Oleh HM Digital

Tangkak: Isteri kepada Pengarang Berita Harian Metro, Kamarulzaman Pid meninggal dunia akibat menghidap barah payudara tahap empat di rumah kakaknya di Lorong 3, Kampung Baru Sawah Ring, di sini, pagi semalam.

Kamarulzaman berkata, arwah isterinya, Lamizah Ab Hamid, 44, menghembuskan nafas terakhir di sisinya dan anak serta keluarga jam 10.30 pagi.

Katanya, arwah menghidap penyakit itu sejak tiga tahun lalu dan pernah mendapatkan rawatan di China.

“Namun sejak awal Ramadan lalu arwah dibawa pulang ke rumah kakak iparnya, Dr Jelita Ab Hamid di kampung itu untuk rawatan lanjut,” katanya ditemui di rumah kakak iparnya di Bukit Gambir, di sini, semalam.

Katanya, penyakit barah dihidapi arwah dikesan pada tahap tiga tetapi merebak ke tahap empat dalam masa sebulan.

“Saya tiba dari Kuala Lumpur pagi ini dan ketika keadaan arwah nazak, saya sempat mengajar arwah mengucap sebelum dia menghembuskan nafas terakhir di hadapan anak,” katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 5:32am
d