mutakhir

Didenda subahat tipu iklan pinjam wang

Oleh HM Digital

Seremban: Seorang lelaki didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret Seremban di sini, semalam selepas didapati bersalah membenarkan akaun banknya digunakan untuk tujuan penipuan iklan pinjaman wang di laman sosial Facebook (FB).

Hukuman itu dijatuhi Majistret Nurulfitriza Abd Latif selepas pemandu peribadi, Syed Ahmad Nashrul Sayed Othman, 39, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menolong menyembunyikan harta curi iaitu wang tunai RM500 di sebuah rumah di Jalan TS2/1D, Taman Semarak, Nilai, pada 9 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa menghubungi seorang lelaki dikenali sebagai Martin untuk bertanya mengenai pinjaman peribadi berjumlah RM30,000 selepas melihat iklan itu di FB.

Mangsa kemudian memasukkan wang RM500 ke dalam akaun bank Hong Leong atas nama tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Soo Kok Weng manakala tertuduh diwakili peguam R Kanapathy.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 5:37am
d