mutakhir

Cip ikan

Oleh Hairie Norli

Batu Maung: Jabatan Perikanan bakal memperkenalkan penggunaan cip di badan ikan peliharaan orang awam sebagai antara langkah membendung aktiviti melepaskan spesies ikan dilarang di perairan negara.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan berkata, tindakan segelintir pengusaha atau individu yang membuang ikan peliharaan mereka ke perairan umum mengundang gangguan keseimbangan biodiversiti, habitat dan spesies ikan asli di perairan negara ini.

“Apabila ikan yang dibela tidak lagi mampu dijaga atas faktor usia atau memerlukan belanja tinggi, mereka mengambil jalan mudah dengan melepaskan ikan itu ke perairan umum.

“Bagi mengatasi masalah ini, pihak jabatan akan memperkenalkan penggunaan cip yang ditanam ke dalam badan ikan untuk direkod bagi memudahkan pihak kami menjejaki semula tuan kepada ikan terbabit,” katanya ketika ditemui di Akuarium Tunku Abdul Rahman (AkuaTAR) bagi merasmikan satu tangki pameran khusus ikan terlarang di sini, semalam.

Ismail berkata, pelepasan spesies ikan ini ke perairan umum juga boleh menyebabkan penyebaran penyakit baru yang boleh menyebabkan kematian ikan tempatan secara besar-besaran dan akhirnya berlaku ketidakseimbangan biodiversiti.

“Segelintir kalangan pekedai akuarium dan pengguna masih tidak peka mengenainya, walaupun pihak berkuasa membuat hebahan meluas melalui pelbagai medium termasuk program dialog, pameran dan siaran akhbar.

“Diharapkan dengan penggunaan cip ini, ia mengurangkan aktiviti pelepasan ikan terlarang di perairan terbuka, sekali gus menjaga ekosistem asli perairan di negara ini,” katanya

Menurutnya lagi, orang ramai yang tidak mahu memelihara ikan ini boleh menghubungi mana-mana Pejabat Perikanan daerah atau negeri untuk tindakan sewajarnya.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 5:54am
d