mutakhir

Askar cedera trak masuk gaung

Oleh Recqueal Raimi

ANGGOTA tentera cedera selepas trak dinaiki bersama tujuh anggota lain terbabas dan terhumban ke dalam gaung sedalam 10 meter di Kem Paradise, Kota Belud, 6.45 pagi, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Rozlan Osman berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 6.49 pagi, sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi 13 minit kemudian, mangsa yang identitinya belum dikenal pasti itu didapati patah tangan di dalam kenderaan yang terbalik.

"Bomba mengeluarkan semua mangsa dan menghantar angggota tentera yang cedera ke Hospital Kota Belud untuk menjalani rawatan lanjut," katanya dihubungi hari ini.

Rozlan berkata, operasi ditamatkan kira-kira sejam kemudian.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 11:36am
d