mutakhir

Roti canai percuma sempena Merdeka

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PENIAGA restoran dari Taman Tunku Maheran, Jitra mempunyai cara tersendiri untuk menzahirkan semangat patriotiknya apabila menyusun doh roti canai dalam bentuk Jalur Gemilang, semalam.

Mohd Najmuddin Md Noor, 30, turut menghidangkan roti canai itu secara percuma kepada 500 pengunjung restoran mulai 6 petang.

Menurut Mohd Najmuddin yang juga pemilik Restoran Didie Roti Canai, dia mengambil masa tiga jam untuk menghasilkan doh roti canai dalam warna Jalur Gemilang itu menggunakan 30 kilogram tepung gandum.

Katanya, dia menggunakan empat pewarna makanan iaitu merah, kuning, biru dan putih untuk menghasilkan doh itu.

"Idea ini tercetus untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-60 selain menghargai pelanggan yang selama ini menyokong perniagaan saya.

"Saya turut membuat hebahan di Facebook semalam (kelmarin) dan tak sangka ramai yang datang untuk menikmati hidangan percuma ini," katanya ketika ditemui di restorannya, hari ini.

Mohd Najmuddin berkata, itu kali pertama dia menghasilkan doh roti canai Jalur Gemilang dan bercadang meneruskannya pada masa depan.

"Selain makan roti canai tetamu juga dihidangkan minuman secara percuma dan saya amat teruja dengan sambutan yang diterima," katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 2:49pm
d