mutakhir

Rampas 3,000 karton rokok seludup

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

POLIS menahan seorang lelaki dan merampas 3,000 karton rokok seludup bernilai RM135,000 dalam van di Batu 16 Jalan Bota Kanan-Kg Gajah dekat Kampung Teluk Bendayung Lambor Kanan, Bota, kelmarin.

Dalam kejadian 9.45 pagi itu, lelaki berusia 33 tahun yang memandu van berkenaan ditahan unit peronda polis untuk pemeriksaan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, pemeriksaan dijalankan anggota kemudiannya menemui 60 kotak besar yang mengandungi 3,000 karton rokok seludup.

Menurutnya, nilai pasaran kesemua rokok berkenaan dianggarkan berjumlah RM135,000 manakala nilai cukai yang sepatutnya dibayar pula berjumlah RM432,480.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek hanya sebagai penghantar dan menerima bayaran RM200 sebagai upah penghantaran kesemua rokok berkenaan dari Shah Alam ke Seri Iskandar.

"Kesemua rokok itu dibawa dari Shah Alam untuk dihantar kepada seorang lelaki di sini (Seri Iskandar) untuk dijual dan suspek direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti dalang dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, Seri Iskandar, hari ini.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 3:40pm
d