mutakhir

Jaga kesihatan menjelang wukuf

Oleh Nasharuddin Muhammad

JEMAAH haji Malaysia perlu memastikan keadaan kesihatan mereka berada pada tahap terbaik menjelang Hari Wukuf yang tinggal kira-kira 16 lagi.

Ketua Rombongan Haji 1438 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kemuncak ibadat haji ialah wukuf dan ketika itu, kesihatan jemaah sepatutnya berada pada tahap terbaik.

Berikutan itu, menurutnya, jemaah dinasihatkan supaya lebih menjaga kesihatan diri masing-masing termasuk menjaga pemakanan dan mengambil ubat-ubatan diarahkan doktor.

Katanya, memandangkan keadaan cuaca di Tanah Suci agak panas dan kering dengan purata suhu ketika ini sekitar 40 darjah selsius, jemaah dinasihatkan tidak terlalu terdedah kepada panas selain meminum banyak air.

"Jemaah haji dinasihatkan jaga makan, jaga ubat dan jaga tenaga menjelang Hari Wukuf.

"Mereka juga dinasihatkan tidak membeli makanan yang dijual secara terbuka di tepi jalan bagi mengelak masalah kesihatan.

"Begitu juga, jemaah dinasihatkan tidak terlalu terdedah kepada cuaca panas yang boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti kulit kering dan sebagainya," katanya pada sidang media di ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kira-kira 70 peratus jemaah haji Malaysia sudah tiba di Tanah Suci untuk menunaikan Rukun Islam kelima pada tahun ini.

Menurutnya, seramai 1,783 jemaah masih berada di Madinah manakala bakinya sudah tiba di Makkah.

Katanya, sebanyak 80 penerbangan sewa khas membawa jemaah sudah tiba di Tanah Suci manakala baki 32 penerbangan lagi akan tiba sehingga tarikh akhir pada 26 Ogos.

Menurutnya, semua 24 Bangunan Penginapan Jemaah Haji (BPJH) di Makkah juga sudah beroperasi dengan semua perkhidmatan yang disediakan TH berjalan lancar dan baik.

Beliau berkata, jemaah juga dilaporkan dalam keadaan baik dengan mereka mengikuti program dan aktiviti berkaitan ibadat yang disediakan TH melalui Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS).

"Kita berharap jemaah merebut peluang disediakan ini untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan ibadat haji dengan PIHTAS.

"Kalau dulu ketika berkursus di tanah air, mereka hanya diberikan ilmu secara teori dan amali yang terhad tetapi kini sudah berada di Tanah Suci dan melihat keadaan yang sebenar," katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 4:23pm
d