mutakhir

65 gelandangan diselamatkan

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

JABATAN Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang selamatkan 65 gelandangan dan kutu rayau sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan beberapa lokasi lain di Georgetown dalam operasi Op Bersih, 1 pagi hari ini.

Operasi dari 1 pagi hingga 7 pagi itu membabitkan 44 pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuk JKM, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Imigresen negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perudangan dan Penguatkuasaan JKM Pulau Pinang, Haslinda Abdul Hamid berkata, operasi itu turut membabitkan pemeriksaan di Jalan Dato Keramat, Jalan Perak, Jalan Kapitan Keling, Lebuh Pantai dan Jalan Penang.

Beliau berkata, dalam operasi itu 61 lelaki dan empat wanita berusia antara 20 hingga 60-an diselamatkan termasuk ada yang pernah ditahan beberapa kali.

Katanya, antara sebab menjadi gelandangan adalah bekerja tetapi tiada rumah dan tertinggal bas. Semua yang ditahan itu adalah rakyat tempatan.

"Mereka kemudian dibawa ke Pejabat JKM Daerah Timur Laut untuk tujuan dokumentasi sebelum tindakan lanjut dilakukan.

"Kita akan melakukan siasatan lanjut bagi memastikan sama ada mereka benar-benar gelandangan atau mempunyai keluarga," katanya ketika ditemui selepas operasi.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 4:54pm
d