mutakhir

10 minit kaki tersepit

Oleh Rosli Ilham

MURID tahun lima menahan sakit selama 10 minit selepas kaki kirinya tersepit pada besi penutup longkang di depan Pasar Buah, Kompleks Sura Gate, Dungun, petang hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku 5.20 petang ketika Che Mohammad Izwan Hafis, 11, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Sura Tengah selepas bermain di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang, dia yang menunggang basikal dikatakan melalui besi penutup longkang berkenaan.

Mangsa tidak bernasib baik apabila basikalnya terbalik sebelum kakinya tersepit di celah besi penutup longkang itu.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian cuba membantu tetapi gagal sebelum bertindak menghubungi anggota bomba.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Othman Simbok berkata, pihaknya menerima panggilan 5.24 petang sebelum sebuah jentera bersama lima anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya terpaksa menggunakan alat bagi memotong besi itu sebelum mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit.

"Mangsa tidak mengalami kecederaan yang teruk dan pulang ke rumahnya dengan menunggang basikal selepas kejadian itu," katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 7:51pm
d