mutakhir

KPM tubuh jawatankuasa pantau 'sekolah panas'

Oleh Zulfa Mohamad

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menubuhkan jawatankuasa di peringkat negeri bagi memantau sekolah dikategorikan sebagai 'sekolah panas' susulan masalah disiplin pelajar.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jawatankuasa di peringkat negeri itu susulan tindakan diambil di peringkat kementerian yang bekerjasama dengan agensi lain dalam usaha menangani masalah disiplin pelajar.

Katanya, selain kementerian, turut terbabit dalam jawatankuasa itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan alumni sekolah.

"Penubuhan jawatankuasa berkenaan bagi menangani sekolah yang mempunyai masalah disiplin, jenayah dan dadah membabitkan pelajar," katanya.

Beliau mengulas mengenai laporan PDRM yang menyenaraikan 402 sekolah seluruh negara yang dikategorikan sebagai 'sekolah panas' berikutan masalah disiplin.

Terdahulu beliau merasmikan Pusat Kegiatan Guru (PKG) Sekolah Kebangsaan Hashim Awang, Kepala Batas yang mempunyai Digital Maker Hub pertama di negara ini bagi meningkatkan penguasaan teknologi digital dalam kalangan murid.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 11:54pm
d