mutakhir

Dua kampus diakui MQA

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Sehingga kini, sebanyak 19 universiti di seluruh negara dianugerahkan Perakuan Status Swaakreditasi dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) apabila dua kampus Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menerima pengiktirafan status berkenaan semalam.

Kedua-dua kampus itu ialah Kampus Kota iaitu kampus induk universiti berkenaan dan kampus Malaysia France Institute (MFI) di Bangi.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, perakuan itu satu autonomi akademik yang membolehkan UniKL mengakreditasi sendiri program pengajian ditawarkan di dua kampus itu berpandukan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) dan piawaian serta ketetapan MQA serta Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Selain itu, ia juga satu pengiktirafan kepada sistem kualiti dalaman yang mantap dibangunkan pihak universiti dan disahkan melalui audit dilaksanakan pihak MQA.

“Penganugerahan ini susulan kepada lapan penyampaian sijil yang disempurnakan pada 20 Mac lalu dan secara keseluruhan, 19 universiti dianugerahkan status ini membabitkan lapan universiti awam, tujuh universiti swasta serta empat kampus cawangan universiti luar negara,” katanya majlis penyampaian Sijil Perakuan Status Swaakreditasi UniKL, di sini, semalam.

Sijil perakuan itu disampaikan beliau kepada Presiden UniKL Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 5:13am
d