mutakhir

Semarak baca al-Quran

Oleh Suraya Roslan

Gombak: Program World#QuranHour pada 31 Ogos ini atau bersamaan 9 Zulhijjah yang akan disambut bersama Merdeka#Quran Hour sempena Hari Kemerdekaan Negara ke-60 mendapat perhatian Menteri Hal Ehwal Agama Maldives Dr Mohamed Shaheem Ali Saeed yang berkongsi pengalamannya dalam penganjuran program itu, tahun lalu.

Mohamed Shaheem yang juga Canselor Universiti Islam Maldives berkata, sambutan diterima di negaranya sangat memberangsangkan dan orang ramai boleh mengikuti serta membaca al-Quran bersama menerusi siaran langsung dipaparkan di televisyen.

“Maldives yang majoriti penduduknya beragama Islam mengalu-alukan penganjuran #QuranHour dan ia mendapat sambutan menggalakkan tahun lalu.

“Tahun lalu kami menerima kekangan sedikit untuk mengumpulkan pelajar dan pensyarah kerana 9 Zulhijjah jatuh pada musim haji. Diharapkan tahun ini kita berjaya mengumpulkan lebih 500 orang,” katanya pada sidang media kempen promosi World #QuranHour di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, semalam.

Katanya, pihaknya berbincang dengan Menteri Pendidikan Maldives untuk mewajibkan acara berkenaan di setiap sekolah terutama ribuan pulau yang berada di Maldives.

“Tahun lalu kita menggunakan tema ‘akhlak’ dan akan membaca ayat al-Quran yang berkaitan dan tahun ini kami belum lagi memilih temanya.

“Tema ini penting kerana kita tidak mahu orang ramai membaca al-Quran tanpa menghayati pengertian dan mesej yang cuba disampaikan dan saya berharap program #QuranHour di Malaysia turut mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap setiap umat Islam menjadikan amalan membaca kitab suci itu sebagai satu cara hidup dan lebih dekat dengan al-Quran.

“Selain mendapat keberkatan daripada Allah SWT, kita berharap orang ramai menghayati setiap pengertian al-Quran terutama menjauhi aktiviti keganasan,” katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 5:31am
d