mutakhir

Sedekah hasil tapah gergasi

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Seorang penduduk tidak menjangka jaring ikan dipasang di Sungai Beriah berhampiran Kampung Matang Pasir, Alor Pongsu, Bagan Serai, di sini, memerangkap seekor ikan tapah gergasi seberat lebih 70 kilogram, semalam.

Muhammad Amirul Jamaludin, 27, berkata, pada jam 7 pagi dia bersama ayah, Jamaludin Mahmud, 60, dan adik, Muhamad Aiman Jamaludin, 19, terkejut melihat kelibat sesuatu yang besar tersangkut pada jaring yang dipasang di kawasan sungai berkenaan.

Menurutnya, selepas diamati dari dekat, ternyata ia seekor ikan tapah gergasi tersangkut pada jaring.

“Jaring ini dipasang pada petang semalam dan akan diperiksa hasilnya pada waktu pagi.

“Kami terkejut mendapati jaring itu memerangkap ikan berkenaan lalu membawanya pulang,” katanya.

Menurutnya, sewaktu dibawa pulang dan atas permintaan penduduk kampung, ikan itu disiang dan dijual kepada penduduk sekitar dengan harga RM35 sekilogram.

“Alhamdulillah hasil jualan ikan ini kami memperoleh lebih RM2,000 dan selebihnya disedekah kepada penduduk kampung.

“Sepanjang memasang jaring di sungai, ini pertama kali kami memperoleh ikan tapah gergasi dan kami bersyukur,” katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 5:36am
d